Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan The Malaysian Insider sebagai berkata,
“Jika benar laporan media, saya rasa kenyataan itu satu penghinaan kepada masyarakat Islam di Malaysia dan boleh menjadi satu tindakan kempen tidak langsung tentang ‘the power of reading the Bible’ seperti yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak,”.
Asri merujuk kepada kenyataan Exco Negeri Selangor, Dato’ Dr. Hassan Ali di dalam jawapannya di Dewan Undangan Negeri Selangor. Saya rasa Asri tidak sebodoh itu dan tidak pula perlu menilai Hassan Ali dengan tahap kebodohan yang sama. Sedihnya, inilah budaya mereka yang berilmu di Malaysia, lebih-lebih lagi berilmu agama.
Perayaan Hari Natal disambut dengan penuh kasih sayang, diberkati oleh tuhan dengan salji yang turun mengindahkan suasana seolah-olah di syurga. Lampu-lampu hiasan berkelipan. Santa Claus datang dengan rusa terbang memberi hadiah kepada anak-anak. Ini adalah hari gembira buat mereka.
Indah dan hebat penjualan jenama kristianiti oleh para mubalighnya dan dipromosi pula oleh pengarah-pengarah filem besar Holywood. Bagaimana kalau dibandingkan penjenamaan hari Raya Aidil Fitri di televisyen Malaysia?
Sudah tentu penuh melodrama dan kesedihan yang menyusuk kalbu. Hari raya yang merupakan hari perayaan kejayaan umat Islam menewaskan hawa nafsu setelah sebulan berpuasa diwarnakan dengan kerinduan ibu tua di kampung terhadap anak-anaknya yang tak kunjung pulang kerana kesibukan mencari rezeki di perantauan, anak-anak menangis kerana ditinggalkan oleh ibu atau bapa dan akhirnya apabila berlaku kepulangan, berlakulah tragedi yang membunuh semangat Aidil Fitri.
Bayangkan pula bagaimana anggun dan indah sebuah gereja di gambarkan di dalam filem-filem barat dan bandingkan pula bagaimana masjid digambarkan di dalam karya tempatan.
Itu semua baru fantasi dan belum realiti. Tetapi fantasi itu sahaja sudah cukup mengoncang keimanan anak-anak kita tanpa perlu injil bertenaga solar dari pendakwah kristian.
Realitinya lebih dasyat.
Hari-hari para ulama’ yang dikenali oleh ramai di Malaysia asyik bertelagah sesama sendiri soal-soal politik. Ulama’ yang tidak kita kenali pula tak tahulah apa cerita mereka.
Hari-hari pendakwah kita bercakap soal haram itu dan haram ini. Neraka itu dan neraka ini dan bila bercakap soal yang positif, selalunya yang berasaskan keinginan nafsu syahwat seperti bagaimana bidadari-bidadari akan melayan kita di syurga dan bagaimana mengalir sungai-sungai wain yang boleh diceduk dan dihirup bila-bila sahaja tanpa membawa kemabukan.
Realitinya, anak muda kita sama ada menjadi cemuh kepada agama atau menjadi ekstrem dan lebih Islam dari Islam yang disempurnakan oleh Allah S.W.T kepada junjungan kita Muhammad S.A.W.
Realitinya, dakwah yang dibawa oleh para mubaligh kristian jauh hebatnya memenangi hati dan perasaan insan yang didekati mereka. Beberapa detik bersama pendakwah kristian bisa membawa senyuman berjela-jela berbanding sesaat mendengar ceramah agama oleh pendakwah Islam.
Dalam menghadapi realiti kehidupan, tuhan yang dicari adalah yang dapat menyelesaikan soal kerumitan hidup dunia. Jaminan yang dikehendaki berkisar kepada persoalan bagaimana menghadapi hari-hari tanpa wang ringgit di dalam kocek. Soal bidadari itu tinggal dulu, nafsu syahwat tidak terbangkit oleh jeritan anak yang kelaparan sesuap nasi dan tangisan insan yang kita sayangi mengharapkan bantuan kewangan untuk membiayai kos perubatan. Soal mengejar 1000 malam di malam Lailatul Qadar tidak akan boleh dihadam bila bukan sebulan tetapi sudah setahun tidak menjamah makanan yang sempurna.
Siapa yang tiada masalah di dunia tetapi masalah bukan alasan untuk murtad. Itu kata kita.
Memang senang untuk berkata, wang bukan segalanya. Atau, antara rumah usang dan syurga, aku memilih syurga. Tetapi realitinya, bukan begitu bagi mereka yang hidup tertekan hari demi hari. Setiap hari mereka bertanya, apa lagi cubaan yang Engkau mahu berikan kepada aku yang lemah ini ya Allah. Setiap hari bukan semakin bertambah baik tetapi bertambah buruk. Benarkah cubaan itu datangnya dari Allah atau Allah Yang Maha Mulia itu telah dijadikan alasan kelemahan kita sesama Islam mengamalkan agamanya yang sebenar? Sebenarnya cubaan dan cabaran itu datang dari manusia sendiri. Contohnya dari jiran yang membayar zakat kepada Majlis Agama Islam tetapi zakat itu tidak sampai kepada tetangganya yang memerlukan kerana pelbagai kerenah birokrasi.
Yang hijau pula akan utamakan pemberian zakat kepada yang hijau dari yang biru. Yang biru juga begitu. Yang merasakan diri alim tidak mahu membantu yang dilihat buta agama kerana takut wangnya diguna ke jalan yang dicurigai dan begitulah seterusnya alasan yang dipenuhi pelbagai diskriminasi dan hipokrasi.
Kegagalan pendakwah Islam dan segala agensi-agensi berkaitan dengan Agama Islam menterjemah dan menangani realiti harian manusia adalah antara punca bagaimana usaha mengurangi murtad dikalangan mereka yang dilahirkan Islam mahupun yang memeluk Islam. Akibatnya Islam menjadi pakej yang tidak praktikal kerana tidak menangani permasalahan harian sebaliknya terlalu tertumpu kepada mendapat ‘keberkatan’ untuk kita buat bekalan kejayaan di akhirat.
Bukankah perlu ada keseimbangan antara untuk hidup di dunia dan berdepan dengan alam barzakh?
Keseimbangan itu bukan semestinya 50-50 sepanjang masa. Boleh jadi diperingkat awal mungkin kita perlu menumpukan 70-30 antara berdepan dengan dunia dan persediaan untuk akhirat. Kemudiannya 50-50 antara dunia dan akhirat dan seterusnya 30-70 dunia dan akhirat. Itupun seimbang juga namanya. Kerana berusaha menyediakan kehidupan di dunia juga adalah satu ibadah dan tuntutan penting.
Bukankah Islam itu satu cara hidup. Adakah Islam hanya cara hidup untuk kejayaan di akhirat atau cara hidup untuk berjaya di dunia dan di akhirat?
Sebaliknya, strategi yang diamalkan oleh mubaligh kristian amat-amat berkesan di kalangan mereka yang tertekan dengan pelbagai permasalahan dunia, baik yang merempat, miskin atau yang kaya-raya. Module yang digunakan tertumpu kepada membantu memimpin kita menghadapi kehidupan harian dahulu sebelum memimpin kita ke pintu gereja. Dan selalunya, memimpin ke pintu gereja hanya dilakukan setelah mereka berjaya ‘membuktikan’ bahawa mereka telah ‘menghidupkan kita semula dari mati’.
Itu sebenarnya yang berlaku. Usah percaya karut marut kononnya menggunakan sihir dan jampian pada air suci. Tanyalah mereka yang murtad atau pernah murtad, jawabnya sudah pasti ialah kristianiti menerusi pendakwahnya membuat mereka rasa bahawa penganut agama tersebut menunjukkan jalan hidup yang penuh nilai murni, bantu membantui dan sayang menyayangi. Mereka tidak lagi rasa terhina, merasa semakin dihargai dan berjaya melihat masa depan yang lebih cerah.
Bandingkan apa yang pendakwah Islam dan ulama’-ulama’ menerusi pelbagai fatwa buat kepada mereka? Takut. Tertekan. Hidup yang sempit bertambah sempit.
Malanglah bagi Islam yang diturunkan kepada junjungan kita, yang dijamin kesempurnaannya oleh Allah S.W.T hampir seribu empat ratus tahun yang lalu. Semuanya angkara segelintir umatnya yang mahu menjadi lebih Islam dari Islam, yang mahu menyempitkan yang luas, akhirnya didalam proses itu telah menukar Islam dari satu cara hidup kepada satu cara membunuh kehidupan.
Di dalam Islam yang sempurna, penuh dengan kasih sayang dan hormat menghormati. Penuh dengan module kehidupan yang berjaya. Penuh dengan model ekonomi yang dapat menginspirasikan kejayaan dalam kehidupan. Penuh dengan dasar-dasar pencegahan.
Kita perlu tanya kepada mereka yang mengaku Islam dan hebat pengetahuan Islamnya. Adilkah untuk menjadi hakim kepada hukuman Allah , sekiranya amanahnya untuk menyediakan kesempurnaan kepada hambanya sendiri belum dapat ditunaikan. Bukankah Allah itu seadil-adil hakim.
Sumber dari Kickdefella.net
No comments:
Post a Comment